PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita seunit telefon bimbit serta kad sim seorang pengguna aplikasi TikTok, yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kandungan itu, dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berhubung pesta tidak bermoral dalam negara, serta kenyataan rasmi Anwar mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
“Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan bersifat palsu dan jelik melampau berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara,” menurut kenyataan MCMC.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa MCMC telah merakam keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, semalam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas, serta akan terus mengambil tindakan tegas demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial