MUAR, 29 Julai (Bernama) -- Seorang pekerja kilang perabot kerugian RM488,740 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 46 tahun itu di Balai Polis Muar, semalam.
“Mangsa menyatakan dia menekan satu pautan selepas terlihat iklan pelaburan itu melalui media sosial Mei lepas dan dia kemudian dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian diarah memuat turun satu aplikasi bagi tujuan pelaburan dan telah dijanjikan pulangan lumayan hingga 50 peratus jumlah pelaburan dalam seminggu serta 500 peratus dalam tempoh enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata terperdaya dengan janji manis berkenaan, mangsa telah memasukkan wang ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah 39 transaksi pada 21 Mei hingga 21 Julai lepas membabitkan jumlah keseluruhan RM488,740.
Raiz Mukhliz berkata ketika mangsa cuba membuat pengeluaran yang kononnya telah mencecah RM6 juta, dia diminta membuat bayaran tambahan RM600,000 kononnya bagi tujuan cukai pendapatan.
“Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial