KAJANG, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan terhadap sebuah pusat pemulihan dadah swasta di Negeri Sembilan susulan kes kematian yang berlaku di premis berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu dapat dilaksanakan selepas pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 2024, yang membolehkan kerajaan mengawal selia dan mengambil langkah penguatkuasaan terhadap pusat pemulihan dadah swasta yang melanggar garis panduan ditetapkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Ada satu kes yang kita telah ambil tindakan iaitu di Negeri Sembilan yang menyebabkan kematian. Sebelum ini kita tidak boleh mengambil tindakan, tetapi sekarang sudah boleh. Inilah antara kebaikan pindaan Akta Penagih Dadah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program i-DEEN anjuran AADK di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai mengulas laporan khas media tempatan yang mendakwa terdapat pusat pemulihan dadah persendirian yang tidak berdaftar dan melanggar garis panduan yang ditetapkan AADK.
Beliau menegaskan pindaan Akta Penagih Dadah itu membolehkan kerajaan mengambil tindakan kawalan terhadap pusat pemulihan dadah swasta yang gagal mematuhi undang-undang.
Pada 18 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 selepas kali terakhir dipinda 20 tahun lepas.
RUU itu antara lain memberi kuasa kepada AADK untuk memperakukan rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela selain pegawai perubatan.
Mengenai kadar kepulihan dalam kalangan klien AADK, beliau berkata sehingga kini ia menghampiri 80 peratus.
“AADK menetapkan standard sekitar 80 peratus untuk tahun berikutnya. Pada masa ini, kadar kepulihan berada antara 78 hingga 79 peratus. Sekiranya berjaya mencapai 80 peratus, kita akan menganggapnya sebagai kadar kejayaan yang baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial