KUALA SELANGOR, 6 Ogos (Bernama) -- Pihak pendakwaan negeri Selangor menolak representasi dikemukakan seorang wanita bagi menggugurkan pertuduhan memiliki sepucuk pistol yang dipercayai dibekalkan kepada warga Israel.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes Sharifah Faraha Syed Husin, 42, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohammed Redza hari ini.
“Representasi yang dikemukakan Sharifah Faraha kepada pendakwaan negeri Selangor untuk gugurkan pertuduhan dihadapinya telah ditolak,” katanya.
Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan 6, 7, 8, 13 dan 17 Oktober ini untuk perbicaraan kes Sharifah Faraha yang diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim.
Muhammad Azamuddin ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu Bernama bahawa pihaknya akan memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.
Pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Jun lepas, suami kepada wanita itu, Abdul Azim Mohd Yasin, 44, telah mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada 5 Jun lepas dan mahkamah sama telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan enam sebatan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Februari lepas selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial