KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat penyedia perisian didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengalihkan wang RM50,000 milik seorang pesara ejen insurans ke dalam akaun bank syarikatnya, tahun lepas.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Farid Mohamad Mohyar, 27, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu hari ini. Dia membayar denda berkenaan.
Muhammad Farid didakwa mengalihkan wang tunai berjumlah RM50,000 milik Wong Wai Chan, 66, dengan memasukannya ke dalam akaun bank syarikat miliknya Inspira Marketing Sdn Bhd di Jalan Sri Hartamas 2, Taman Sri Hartamas di sini pada 5 Julai 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Sr. Muniandy yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah anak guamnya telah pun menyesal dan insaf selain tiada rekod kesalahan lampau.
"Dalam kes ini, anak guam saya telah menerima tawaran kerja sambilan yang iklan di Facebook dan dia kemudian diminta untuk mendaftarkan sebuah syarikat serta akaun bank bagi urusan pembayaran komisyen.
"Tertuduh mengakui dia cuai dan telah memberikan butir-butiran akaunnya kepada pihak menawarkan pekerjaan itu, malah transaksi dalam akaun itu dilakukan semasa akaunnya dipegang oleh pihak ketiga. Perkara itu tiada dalam pengetahuan tertuduh," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial