Ahli Perniagaan Cedera Disamun, tiada Kaitan Kes Mahkamah Bekas Ketua Menteri

06/08/2025 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan kecederaan di tangan dan mulut dialami seorang ahli perniagaan adalah akibat kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor dan tiada kaitan dengan kes mahkamah melibatkan seorang bekas ketua menteri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 7.20 pagi apabila sekumpulan penjenayah memakai penutup muka bersenjatakan parang memecah masuk rumah ahli perniagaan itu, sebelum melarikan barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi.

“Suspek sempat melibaskan parang hingga mendatangkan kecederaan di tangan dan mulut mangsa sebelum melarikan diri melalui kawasan hutan di bahagian belakang rumah. Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata siasatan awal mendapati insiden tersebut adalah kes rompak dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kes mahkamah yang sedang berlangsung melibatkan bekas ketua menteri, seperti yang tular dalam media sosial.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat ASP Fandhi Fatullah Abu Bakar 014-6303090 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang saksi penting pendakwaan melibatkan kes bekas ketua menteri dipercayai diserang di kediamannya di Petaling Jaya pagi tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan