Rasuah: Bekas Ketua Balai Polis Cherating Didenda RM20,000

06/08/2025 05:29 PM

KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Balai Polis Cherating hari ini didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas 40 daripada 98 pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lepas.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara sebulan terhadap Anuar Yaakob, 56, bagi setiap pertuduhan. 

Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Anuar yang ketika itu berpangkat Sarjan dan Sarjan Mejar, masing-masing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Balai Polis Cherating, telah menerima RM150 hingga RM1,000 daripada beberapa individu melalui pindahan wang ke dalam akaunnya tanpa balasan ketika menjalankan tugas rasmi. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2021 hingga September 2022 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, mahkamah mengambil kira 58 lagi pertuduhan di bawah prinsip take into consideration (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah sebagai sebahagian daripada rundingan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ezuain Farhana Ahmad manakala Anuar diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan