Bakti Di Bumi Bergolak, MALBATT Cerminan Wibawa Malaysia Di Pentas Dunia

07/08/2025 11:55 AM

Oleh Nur Syahidayah Mahasan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Ketika seluruh negara bersiap menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan semangat patriotik bagi mengenang perjuangan menuntut kemerdekaan, sekumpulan wira negara terus menabur bakti mempertahankan keamanan sejagat meskipun jauh dari tanah air.

Biarpun bertugas di bumi asing yang bergolak tanpa iringan paluan gendang perarakan atau sorakan penonton, anggota pasukan pengaman di bawah panji Batalion Malaysia (MALBATT) tetap menggalas amanah demi kemanusiaan sambil menjulang Jalur Gemilang, mencerminkan wibawa Malaysia di persada antarabangsa.

Panglima Angkatan Bersama (PAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Zahani Zainal Abidin menyifatkan MALBATT sebagai lambang kejayaan luar biasa misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai aspek.

Dari segi disiplin, katanya, anggota MALBATT sentiasa menunjukkan tahap kepatuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan antarabangsa PBB.

“Tambahan pula, misi terkini di Lubnan merupakan antara yang paling mencabar, khususnya apabila MALBATT 850-12 terlibat dalam insiden letupan akibat serpihan serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan," katanya kepada Bernama.

“Walaupun enam anggota mengalami kecederaan ringan, mereka kekal tenang, mengikut prosedur dan meneruskan misi secara terkawal. Ini menggambarkan tahap disiplin, profesionalisme dan kesiapsiagaan yang tinggi walaupun dalam keadaan getir,” katanya.

Bagi Komander MALBATT 850-12 Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh pula, keamanan tanah air lebih dihargai selepas melalui detik menyentuh hati sebaik sahaja pasukan itu tiba di Lubnan.

“Dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut ke Kem Marakah, bas yang membawa anggota kami terkesan oleh insiden pengeboman di kawasan Saida yang mengakibatkan kecederaan kepada lima anggota MALBATT 850-12 dan seorang anggota MALBATT 850-11.

“Ia merupakan detik amat mencabar yang menguji kekuatan fizikal, mental dan semangat anggota yang baru sahaja memulakan misi pengaman. Namun, semangat dan iltizam kami tidak pernah luntur. Kami terus teguh berkhidmat di bawah panji PBB demi keamanan sejagat,” katanya.

Sepanjang penugasan di Selatan Lubnan, beliau turut menyaksikan sendiri kesan mendalam konflik terhadap kehidupan masyarakat setempat, termasuk rumah yang musnah, infrastruktur rosak dan harapan yang hampir pudar.

Sehubungan itu, Johan Effendi berkata MALBATT 850-12 melaksanakan pelbagai inisiatif kemanusiaan menerusi Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), antaranya pemberian kotak makanan, selimut musim sejuk, sumbangan peralatan pejabat dan kerja-kerja pembaikan bangunan terjejas.

“Program perkhidmatan kesihatan dan pergigian turut dijalankan, termasuk memberi akses pemeriksaan kesihatan kepada penduduk luar bandar, di samping aktiviti kemasyarakatan seperti mewarna bersama anak-anak yatim bagi mengeratkan hubungan dan membawa keceriaan kepada mereka yang terkesan,” katanya.

Beliau yang beberapa kali menzahirkan rasa syukur dilahirkan sebagai anak jati Malaysia berkata, semua usaha itu adalah manifestasi keprihatinan MALBATT terhadap nasib penduduk tempatan yang hidup dalam ketidaktentuan di bumi yang masih bergolak.

“Sepanjang penugasan, kerinduan terhadap keluarga dan kehidupan di tanah air amat dirasai, namun kemajuan teknologi banyak membantu merapatkan jurang apabila hubungan dengan keluarga dapat dikekalkan hampir setiap hari secara dalam talian, sekali gus memberi kekuatan emosi yang amat diperlukan,” katanya.

Di sebalik keteguhan pasukan MALBATT 850 yang kini memasuki penugasan ke-12, tersirat jasa pasukan-pasukan terdahulu yang telah membuka jalan dan meletakkan asas kukuh dalam misi pengaman Malaysia di peringkat antarabangsa.

Antara anggota terawal menyertai misi pengaman itu ialah Mejar Suhaili Mahasan dari MALBATT 850-1 yang berkongsi pengalaman membina hubungan baik antara pasukan dan penduduk tempatan ketika mereka ditahan oleh pejuang Hizbullah akibat salah faham.

“Pasukan kami pernah ditahan dan semua peralatan seperti telefon bimbit dan radio komunikasi dirampas. Keadaan agak kelam-kabut kerana kedua-dua pihak bersenjata, namun hasil latihan yang berkesan, situasi dapat dikawal dan hubungan baik terjalin antara ketua pasukan kami dan datuk bandar kawasan berkenaan sehingga kesemua peralatan dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata sebelum berlepas ke Lubnan, semua pegawai dan anggota diwajibkan menjalani Latihan Integrasi Angkatan (FIT) di Malbatt Village, Port Dickson yang menghimpunkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM untuk membentuk pasukan pengaman bersepadu dan bersedia menghadapi misi sebenar.

“Latihan ini bertujuan mengintegrasikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan di bawah satu komander misi, dan direka khas untuk membina kerjasama serta kefahaman bersama antara semua perkhidmatan ATM yang sebelum ini jarang beroperasi secara langsung bersama.

“Melalui latihan ini, semua anggota dibentuk dengan satu minda operasi yang selaras, selain diberi pendedahan kepada keperluan misi di bawah PBB termasuk prosedur operasi, disiplin komunikasi dan koordinasi taktikal yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya yang kini menyambung pengajian di Australian Command and Staff Course di Australian War College.

Daripada generasi pertama hingga kini, MALBATT terus menjadi duta keamanan Malaysia, menyulam jasa di pentas dunia dalam semangat merdeka yang tidak pernah luntur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan