Shazeli Kahar Ketua Polis Selangor Baharu

30/07/2025 10:55 AM

SHAH ALAM, 30 Julai (Bernama) -- Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur Datuk Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini. 

Shazeli mengambil alih tugas Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak 21 Julai lepas. 

Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan.  

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Shazeli diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (Jlog) Bukit Aman CP Gilberd Philip Layang. 

Shazeli dalam ucapannya berkata pelantikan itu satu amanah besar yang dipertanggungjawabkan terhadap dirinya selain menzahirkan komitmen untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran kontinjen serta memastikan keamanan dan ketenteraman di Selangor kekal terjamin. 

"Sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu saya menyedari harapan masyarakat dan warga PDRM terhadap kepimpinan yang berintegriti dan berwibawa seta dekat di hati. 

"Justeru, saya bertekad meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina serta memacu perubahan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan Selangor kekal terpelihara," katanya. 

Shazeli, 50, yang telah berkhidmat hampir 25 tahun memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak sebelum dilantik ke pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan dalam Cawangan Khas termasuk melibatkan ekstremis sosial dan pelampau agama sebelum diberi  tanggungjawab mengetuai Cawangan Khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan