AGC Putuskan Adakan Inkues Berhubung Kematian Zara Qairina

13/08/2025 03:06 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kes membabitkan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu pada 12 Ogos lepas.

Menurut AGC, prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

AGC juga memaklumkan keputusan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593).

Pada 8 Ogos lepas, AGC memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

AGC berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, jenazah remaja tersebut yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah digali semula pada 9 Ogos lepas dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula awal pagi Isnin di tanah perkuburan sama.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di hospital sama pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan