Kes Zara: Fokus Siasatan Kini Tumpu Elemen Jenayah Termasuk Buli - PDRM

13/08/2025 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah yang sebelum ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut kini akan menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata hal itu merupakan antara dua dapatan pasukan khas jabatan berkenaan membabitkan sembilan pegawai dan anggota yang dihantar ke Sabah pada 11 Ogos lepas untuk menyiasat kes tersebut.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13, selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia.

Menurut AGC, inkues itu selaras dengan Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dengan tujuan utama untuk menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina.

Kumar berkata laporan bedah siasat telah mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk berikutan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak yang berpunca daripada mangsa jatuh, sama seperti diagnosis awal bagi kematiannya sebelum ini.

Beliau berkata setakat ini, seramai 82 saksi telah diambil keterangan dengan sebahagian daripada mereka dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut dan antara fokus siasatan untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Zara Qairina sebelum beliau jatuh.

“Polis turut melaksanakan intervensi psikologi melibatkan 124 pelajar di SMKA Tun Datu Mustapha yang dikenal pasti mengalami trauma akibat insiden tersebut bagi memulihkan keyakinan mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kumar turut menegaskan bahawa tiada unsur ‘cover up’ dalam siasatan.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat penularan berita palsu di media sosial berkaitan kes itu termasuk dakwaan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh dan seorang wanita berusia 39 tahun telah ditahan di Rawang mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Sehingga kini, 15 kertas siasatan dibuka berkaitan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan proses siasatan,” katanya.

Jumaat lepas, AGC mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC memutuskan demikian selepas berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah digali semula dan jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula dua hari lepas di tanah perkuburan sama.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi 16 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan