PDRM Nasihat Himpunan Di Kepala Batas Dibatalkan - KPN

14/08/2025 09:47 AM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan perhimpunan yang dijadualkan di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini dibatalkan bagi mengelakkan pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata ia juga bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara.

“PDRM memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Sehubungan dengan itu, PDRM mengambil maklum berhubung perhimpunan yang akan diadakan di Bertam, Kepala Batas pada 14 Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata PDRM telah menjalankan siasatan berhubung isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial baru-baru ini, selepas menerima 38 laporan di seluruh negara, dengan 17 daripadanya diterima di Pulau Pinang dan 21 lagi di negeri lain.

“Siasatan turut merangkumi tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman itu di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Mohd Khalid berkata kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada Isnin lepas dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan.

Beliau berkata PDRM sentiasa komited melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan sebaliknya terus menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan