PASIR MAS, 14 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan mengedar tembakau kunyah pelbagai jenama bernilai lebih RM626,000 termasuk cukai dalam satu operasi di Kampung Kukang, Kadok dekat Kota Bharu, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Negeri Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata dalam serbuan kira-kira 4.30 pagi pada 4 Ogos lepas, pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang dengan kerjasama Zon Risik Timur di bawah Operasi Macan Legit II menahan enam kenderaan, iaitu sebuah lori tiga tan jenis Isuzu dan lima kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 122 kotak tembakau kunyah seberat 2,587.5 kilogram (kg) yang dipercayai diimport secara tidak sah melalui laluan tikus di sempadan.
"Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM474,512.50 dengan jumlah cukai terlibat RM151,536.93," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua barangan dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang khususnya bagi kegunaan pengguna tempatan dan pekerja warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh.
Seorang lelaki berusia 29 tahun, iaitu pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
"Jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Wan Jamal Abdul Salam menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
"Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial