KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Tertekan dan kecewa dengan layanan yang diterima semasa belajar di negara ini disyaki punca seorang wanita warga asing memandu secara cuai sebelum menyerang orang awam dengan pisau dalam kejadian di Bandar Kajang dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati pelajar sebuah universiti awam itu tiada rekod mengalami kemurungan atau mengambil sebarang ubat.
“Namun begitu (wanita terbabit) dilihat dalam keadaan tertekan dengan isu dan permasalahannya, dipercayai kecewa dengan layanan diterima semasa belajar dan juga kehidupan di Malaysia menyebabkan rasa tertekan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata wanita terbabit direman tujuh hari sehingga 20 Ogos ini dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata setakat ini, seramai 11 orang saksi telah diambil keterangan termasuk mangsa.
Katanya, dua mangsa dalam kejadian terbabit masih ditahan di wad dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang wanita warga asing disyaki memandu dalam keadaan cuai sehingga melanggar tiga motosikal, sebelum menyerang orang awam di kawasan lampu isyarat persimpangan jalan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang dekat sini, dalam kejadian pada 11.58 pagi.
Wanita berusia 24 tahun itu ditahan bersama dua bilah pisau oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut
Susulan kejadian itu, enam individu berusia 21 hingga 60 tahun cedera manakala tiga motosikal rosak dilanggar oleh kenderaan wanita terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 kanun sama dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian terbabit turut tular di media sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial