SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) -- Polis memperketat kawalan keselamatan terhadap Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan keluarga susulan serangan terhadap anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Ada, tetapi saya tidak boleh dedahkan nanti orang akan tahu sekuriti itu buat apa. Kawalan akan dilakukan pihak polis," katanya pada sidang media berhubung serangan ke atas anak bekas menteri ekonomi itu di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak enam individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan membabitkan Rafizi dan isteri serta anaknya di samping individu-individu lain yang berkaitan.
Mengulas mengenai jika serangan itu bermotifkan politik, Shazeli berkata perkara itu masih belum boleh ditentukan sehingga siasatan yang lebih lengkap diperoleh pihaknya.
"Alhamdulillah, siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ada memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan. CCTV itu bukan sahaja (di) premis pusat beli-belah itu, malah di luar juga ada diteliti.
"Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menyebabkan kegusaran serta tindakan provokasi tanpa kawalan," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Seksyen 324 serta Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Rafizi dalam kenyataan semalam mengesahkan mangsa serangan itu ialah anaknya dan ketika kejadian, dua suspek lelaki terbabit berpakaian hitam, bertopi keledar dan menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial