Sebutan Semula Kes Naim Daniel Pada 19 Sept Ini

18/08/2025 11:50 AM

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 Sept ini untuk sebutan semula kes penyanyi Naim Daniel yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lepas. 

Hakim Datin M Kunasundary menetapkan tarikh itu pada prosiding tertutup ketika kes berkenaan disebut dihadapannya hari ini. 

Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 8.56 pagi, 19 Mei lepas.

Pada 17 Jun lepas, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim Daniel diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan