KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini menyarankan agar saksi utama perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng memohon perlindungan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.
Azura berkata Datuk Seri G. Gnanaraja, 44, yang juga saksi pendakwaan ke-37, tidak perlu membuat permohonan itu kepada mahkamah sebaliknya mengemukakannya kepada pihak pendakwaan.
"Ini membabitkan kes SPRM, saya percaya pihak SPRM mempunyai kuasa untuk buat sesuatu tentang keselamatan saksi mereka sendiri… tidak perlu sampai nak bawa kepada mahkamah ini... apa mahkamah boleh buat sekiranya saya beri arahan tapi tidak dipatuhi... jadi, permohonan ini sepatutnya dibuat kepada pihak polis atau SPRM.
"Saya setuju dengan pihak pembelaan, tidak perlu bangkitkan semasa perbicaraan... ini mahkamah bukan tempat untuk membuat kenyataan media... kita faham dan simpati dengan apa yang berlaku tetapi kita tidak boleh cakap di luar konteks, apa yang mahkamah nak tahu sama ada saksi ini boleh beri keterangan atau tidak... kalau tidak boleh, maklumkan kepada pihak pendakwaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Gnanaraja memaklumkan mahkamah bahawa saksi itu tidak bersedia untuk memberi keterangan kerana mengalami jahitan di tangan akibat kes rompakan dan masih trauma sebelum menceritakan insiden berkenaan.
“Saya tidak boleh memberi keterangan hari ini selagi tidak dapat memastikan keselamatan saya terjamin,” katanya.
Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Lim, membantah tindakan saksi itu menceritakan insiden rompakan tersebut kepada mahkamah kerana ia tiada kaitan dengan perbicaraan hari ini.
"Apa relevannya perkara itu dengan kes pada hari ini, adakah saksi mahu mohon perlindungan?... jika saksi tidak sihat, dia boleh mengambil masa dan kami boleh mohon untuk menangguhkan perbicaraan hari ini. Ini kes jenayah, kredibiliti anak guam kami dipertaruhkan," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula berkata beliau meminta saksi itu menerangkan kepada mahkamah keadaannya yang tidak bersedia untuk memberi keterangan hari ini.
"Beliau masih dalam keadaan trauma atas beberapa sebab dan kami beritahu mahkamah mengapa beliau tidak bersedia untuk beri keterangan hari ini... oleh itu, kami akan panjangkan tentang perlindungan keselamatan saksi ini kepada pihak atasan kerana saya percaya saksi ini akan beri keterangan di mahkamah beberapa kali," katanya.
Sementara itu, mahkamah membenarkan permohonan peguam RSN Rayer yang turut mewakili Lim untuk tidak mengambil kira kenyataan Gnanaraja yang memaklumkan kepada mahkamah kes rompakan di rumah saksi tersebut di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor pada 6 Ogos lepas.
Ramkarpal pula memaklumkan mahkamah beliau tidak bercadang memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Wan Shaharuddin daripada mengendalikan kes itu kerana kenyataan polis menyebut insiden rompakan tersebut tiada kaitan dengan prosiding hari ini.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini kepada 27 dan 28 Ogos untuk saksi terakhir pendakwaan iaitu pegawai penyiasat SPRM akan memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial