PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad hari ini gagal menghidupkan semula samannya terhadap kerajaan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berhubung kerugian yang didakwa dialami susulan pengambilalihan saham Renong Bhd serta United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan pada 2001.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk Lim Chong Fong serta Datuk Dr Alwi Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Halim dan memerintahkan beliau agar membayar kos sebanyak RM20,000.
“Kami mendapati saman perayu terhalang oleh had masa mengikut peruntukan di bawah Akta Had Masa 1953 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 yang mewajarkan ia ditolak,” kata Supang ketika menyampaikan keputusan itu yang dibuat secara sebulat suara.
Supang juga berkata Halim sepatutnya membangkitkan isu mengenai kebimbangan berlaku pelanggaran terhadap hak beliau seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dibangkitkan dalam saman terdahulu yang difailkan pada 2013.
Pada 9 Mei 2024, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Dr Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh taikun berusia 72 tahun itu.
Pada 17 April 2013, Halim telah memfailkan saman serupa terhadap Khazanah Nasional, Nor Mohamed dan kerajaan bagi menuntut ganti rugi lebih RM1.8 bilion kerana menjual sahamnya dalam Renong.
Bagaimanapun, pada 31 Okt tahun sama, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Khazanah Nasional, Nor Mohamed dan kerajaan untuk membatalkan saman itu atas alasan Halim telah memfailkannya selepas tempoh enam tahun.
Halim gagal menghidupkan semula saman itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan rayuan berhubung perkara tersebut pada 2015.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan terhadap Dr Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan, Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong, mendakwa beliau berhasrat untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong dengan pelaksanaan yang membolehkan plaintif mempunyai kawalan serta pemilikan penuh ke atas UEM.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau telah diarah oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil alih semua saham dalam UEM menerusi satu entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang dicalonkan oleh Khazanah.
Halim juga mendakwa beliau telah diarah meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah, termasuk anak syarikat kedua-duanya yang menyebabkan ahli perniagaan itu terpaksa menyerahkan Renong dan UEM kepada kerajaan serta mengalami kerugian selepas melupuskan sahamnya dalam Renong.
Beliau mendakwa Khazanah telah mengambil alih semua saham UEM menerusi anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd, justeru mendapat kawalan ke atas UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.
Justeru itu, Halim antara lain menuntut pampasan bagi pengambilalihan paksa oleh kerajaan antara Julai dan Oktober 2001 serta deklarasi bahawa beliau adalah pemegang saham Renong.
Defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyangkal telah mengambil alih saham kedua-dua syarikat secara paksa kerana langkah itu telah dipersetujui oleh Halim, yang menerima RM165 juta sebagai pampasan.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A.Surendra Ananth dan Yvonne Lim mewakili Halim manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir @ Hambaly @ Arwi hadir bagi pihak kerajaan, Dr Mahathir serta Nor Mohamed.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial