Polis Ronda Dalam Kawasan Sekolah, Tingkat Keselamatan Pelajar, Guru - KP Selangor

15/10/2025 06:12 PM

SHAH ALAM, 15 Okt (Bernama) -- Polis akan meningkatkan rondaan termasuk menghantar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) secara berkala ke kawasan sekolah bagi mempertingkatkan kehadiran sepanjang waktu persekolahan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata langkah itu termasuk memperkukuh program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), antara inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran selamat di sekolah.

“Kami akan mempergiatkan usaha ini, termasuk membenarkan kenderaan peronda memasuki kawasan sekolah secara berkala untuk memastikan tahap penglihatan polis lebih baik dan tindak balas lebih pantas sekiranya diperlukan.

"Inisiatif ini dibuat berdasarkan arahan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan akan dilaksanakan di seluruh Selangor sebagai sebahagian daripada langkah lebih menyeluruh untuk memberi jaminan keselamatan kepada pelajar, guru dan ibu bapa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata langkah mengetatkan kawalan keselamatan itu bukan semata-mata disebabkan kes bunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam tetapi lebih kepada memperkasakan langkah keselamatan sedia ada dengan arahan terbaharu membenarkan MPV polis memasuki dan melakukan rondaan di dalam kawasan sekolah.

Beliau berkata polis memandang serius kes berkenaan dan pihaknya sedang meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi mencari cara paling berkesan memastikan sekolah selamat.

Shazeli turut menasihati pelajar dan ibu bapa bahawa sebarang bentuk buli, ugutan atau keganasan adalah satu kesalahan jenayah dan polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.

“Buli bukan sekadar gurauan atau tekanan rakan sebaya, ia adalah jenayah. Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan buli atau keganasan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Shazeli berkata polis juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memadam gambar atau maklumat peribadi mangsa dan suspek yang berlegar di platform media sosial.

Dalam insiden kira-kira 9.30 pagi itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut disyaki ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan