Lelaki Miliki 17 Rekod Jenayah Ditahan Terlibat Cubaan Curi Kabel

04/01/2026 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai 17 rekod jenayah lampau kerana disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel di Sungai Lalang, Semenyih, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Semenyih semalam bersama sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan telah direman selama empat hari hingga Selasa bagi membantu siasatan lanjut, manakala usaha mengesan baki suspek yang terlibat masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan A. Vaelmurgan di talian 019-6111660.

Sementara itu, Naazron memaklumkan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Plaza Tol Sungai Long, Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) menghala ke Balakong, Jumaat lepas.

Menurutnya, suspek direman tiga hari hingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya, selain turut disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9740758.

Sebelum ini dilaporkan polis menerima maklumat berhubung pergaduhan melibatkan dua individu pada 9.08 malam hari kejadian, dengan seorang daripadanya dilihat memegang objek disyaki kayu.

Pergaduhan itu dikatakan turut menghalang lalu lintas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan