KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Razali Idris hari ini didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Kemaman, tiga tahun lepas.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Razali, 59, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Pada 24 Nov 2023, Razali yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu minta dibicarakan atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut apabila mendakwa keputusan satu kes mahkamah dikawal oleh kerajaan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara 9.30 dan hingga 11.30 malam pada 10 Nov 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon agar Razali dihukum penjara kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, tegas dan berkesan terhadap tertuduh... Pihak pendakwaan berhujah bahawa hukuman berbentuk denda semata-mata adalah tidak memadai kerana tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
“Ini kerana tertuduh merupakan seorang individu berkedudukan tinggi serta berpengaruh, dan hukuman denda berpotensi dilihat sebagai satu beban yang boleh ditanggung tanpa memberikan kesan pencegahan yang sebenar,” katanya.
Izzat Amir juga berkata dalam kes ini, tertuduh bukan seorang individu biasa kerana beliau merupakan seorang ADUN dan pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat serta memegang amanah awam.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Razali, pula memohon supaya anak guamnya tidak dihukum penjara atas alasan beliau telah menabur jasa dalam politik di negara ini.
“Dalam kes ini, tidak timbul isu keselamatan negara dan ketenteraman awam kerana (kenyataan) tersebut tidak memberikan kesan kepada masyarakat.
“Hukuman pemenjaraan melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan tertuduh hilang kelayakan sebagai ADUN selaras dengan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sekali gus menyebabkan PRK (Pilihan Raya Kecil) perlu diadakan,” katanya.
Beliau juga berkata kepentingan awam perlu dilihat secara menyeluruh termasuk keperluan menjimatkan perbelanjaan negara.
Pendakwaan mengemukakan empat saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula pada September 2025.
Razali, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, membayar denda berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial