Lelaki Tempatan Maut Ditembak Di Klang

07/01/2026 07:21 PM

SHAH ALAM, 7 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan maut ditembak di kawasan Taman Wangsa, Klang, dekat sini tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 12.30 tengah malam tadi.

“Susulan itu, pasukan polis telah ke tempat kejadian dan menjumpai mayat seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 43 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaini berkata siasatan lanjut mendapati dua lelaki menaiki motosikal dipercayai telah ke lokasi kejadian dan melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

Mohd Zaini berkata orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan