Dua Suspek Kes Tembak Cedera Dirempuh Pacuan Empat Roda

05/03/2026 02:12 PM

SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) -- Dua lelaki cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda selepas melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori di Taman Seri Kapar, Klang pagi tadi. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian berlaku kira-kira 9 pagi dan tindakan dua suspek itu disedari oleh pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut. 

“Kejadian melibatkan dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori.

“Ekoran itu, (pemandu) kenderaan yang melihat insiden tersebut bertindak merempuh motosikal suspek menyebabkan mereka cedera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata tahap kecederaan dua suspek belum dapat dipastikan dan identiti mereka sedang disemak.

Pasukan forensik juga masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian. 

“Polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan kronologi dan perkembangan lanjut siasatan kes,” katanya. 

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 13 saat memaparkan seorang lelaki terbaring di jalan raya dipercayai berkaitan dengan kes tembak.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan