Polis Tahan Enam Lelaki, Tumpaskan Kegiatan Curi Kabel Di Shah Alam

10/05/2026 07:38 PM

SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan mencuri kabel susulan penahanan enam lelaki dalam siri operasi di sekitar Lembah Klang bermula dari 4 Mei hingga semalam. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata tindakan berkenaan digerakkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama pelbagai unit selepas insiden kecurian kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Seksyen 2, di sini tular di platform media sosial.

“Kesemua suspek berumur antara 26 hingga 40 tahun itu ditangkap dalam tempoh enam hari operasi bermula pada 4 hingga 9 Mei, hasil semakan mendedahkan mereka memiliki antara tujuh hingga 31 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan semasa tangkapan turut mendapati empat daripada ahli kumpulan tersebut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan sama, beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan jenis Nissan Navara serta pelbagai peralatan yang digunakan oleh suspek untuk memotong kabel di lokasi kejadian, selain tiga gulung kabel milik syarikat telekomunikasi itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Shah Alam Insp Mohammad Amirul Zulkifli menerusi talian 012-5583436 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan kediaman masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terus terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan