KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang pemandu lori bonded dan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes langgar lari yang mengakibatkan kematian seorang warga emas di Jalan Desa Serdang, Seri Kembangan dekat sini, Sabtu lepas.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemalangan pada kira-kira 9 malam itu melibatkan sebuah motosikal Honda Wave ditunggang lelaki tempatan berusia 65 tahun dengan sebuah lori berwarna putih.
Siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai masuk ke simpang dari jalan utama secara cuai sehingga menyebabkan mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan kenderaan itu.
"Mangsa kemudian terjatuh di atas jalan raya dan ditemui oleh orang awam selepas kejadian, sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semalam berikutan kecederaan parah di kepala.
Kenyataan itu menyebut semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kilang berdekatan mengesahkan berlaku pelanggaran, namun nombor pendaftaran lori berkenaan tidak dapat dikenal pasti.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial