KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Tempoh reman pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan pasangan suami isteri di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern, di sini pada 2 Mei disambung lima hari lagi bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Wan Munirah Wan Mustafa membenarkan perintah sambungan reman hingga 15 Mei selepas lelaki berusia 24 tahun itu dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 11 pagi tadi untuk proses berkenaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur petang ini untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini suspek dilaporkan direman selama tujuh hari bermula 5 Mei hingga hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam kejadian 5.34 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 dan 56 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta Toyota Vios dari belakang.
Polis turut menjalankan ujian toksikologi terhadap sampel darah dan air kencing suspek bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun masih menunggu keputusan makmal.
Kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial