AM

Kerajaan disaran sentiasa terbit Dokumentari Khas Hari Malaysia

11/09/2019 02:07 PM

Oleh Ibrahim Mahsen

SIBU, 10 Sept  -- Kerajaan disaran supaya sentiasa menerbitkan dokumentari khas mengenai penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963 dan menyiarkannnya dalam media elektronik arus perdana untuk didedahkan kepada generasi muda selaku generasi pewaris untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Pesara tentera, Said Ismail berkata  dokumentari tersebut perlu dimuatkan dengan fakta sejarah yang betul dan usaha gigih pemimpin terdahulu bagi mewujudkan keamanan serta kemakmuran di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada pembentukan negara baharu Malaysia pada ketika itu.

"Dokumentari ini amat penting kerana masih terdapat ramai generasi muda sekarang yang tidak mengetahui sejarah pembentukan Malaysia, pemimpin dahulu yang terlibat dan matlamat serta hala tuju Malaysia.

"Ada di kalangan generasi muda yang baru keluar daripada institusi pengajian tinggi yang bukan hanya tidak tahu sejarah pembentukan Malaysia secara terperinci malah tidak kurang pula di antara mereka yang tidak mahu ambil tahu, " katanya kepada Bernama.

Said yang berasal dari Kedah dan menetap di Sibu lebih 30 tahun berkata, melalui dokumentari itu nanti generasi muda boleh mendapat maklumat serta sejarah tepat mengenai pembentukan negara Malaysia untuk dijadikan rujukan.

Menurut beliau, sekiranya dokumentari seumpama itu pernah diterbitkan sebelum ini, ia hendaklah ditambah baik supaya menjadi lebih menarik dan mudah difahami generasi muda sekarang bagi menyemai semangat patriotik dan sayangkan Malaysia.

Mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept setiap tahun, Said berkata, ia satu hari besar yang perlu diraikan oleh semua kaum di seluruh negara kerana Malaysia adalah milik mereka bersama.

Seorang peniaga dari Sarikei, Poi Chee Teck mahu kerajaan Persekutuan meningkatkan lagi promosi bagi Hari Malaysia pada 16 Sept, sekurang-kurangnya sama seperti sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

"Hari ini kita boleh lihat, promosi sambutan Hari Malaysia tidak sehebat promosi sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, seolah-olah ia kurang penting sedangkan ia perlu disambut secara besar-besaran," katanya.

Beliau mencadangkan supaya sambutan Hari Malaysia diadakan secara serentak pada 16 Sept di seluruh negara dan di semua peringkat supaya nampak lebih meriah serta melibatkan penyertaan masyarakat semua peringkat dan usia.

Bagi Ketua Biro Keselamatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Semop, Omarmayah Rosli, pihaknya menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan penduduk kampung semua peringkat umur bersempena Hari Malaysia.

Walaupun penganjurannya hanya berskala kampung sahaja tetapi apa yang penting ialah penduduk Kampung Semop meraikan Hari Malaysia bersama-sama rakyat di seluruh negara.

"Aktiviti sambutan Hari Malaysia peringkat Kampung Semop tahun lalu juga kita telah muat naik ke laman sosial untuk tatapan orang ramai," jelasnya.

Katanya, sambutan Hari Malaysia amat penting bagi Sarawak kerana ia bukan setakat untuk memperingati sejarah penting penubuhan Malaysia tetapi juga mengingatkan Kerajaan Persekutuan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) yang ditandatangani para pemimpin terdahulu yang melibatkan hak dan kepentingan Sarawak.

Sementara itu Idris Saibi dari Kampung Badong, Daro, berkata sambutan itu amat baik bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana kewujudan Malaysia membawa kepada keamanan serta kemakmuran negara ini.

Menurutnya, hasil daripada keamanan dan kemakmuran itu telah dinikmati semua masyarakat pelbagai kaum yang tinggal di Malaysia sejak penubuhannya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan