AM

KPKT mula proses RFP bagi pembangunan WTE di Melaka

04/11/2019 03:52 PM

MELAKA, 4 Nov -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan proses 'request for proposal' (RFP) pada bulan depan untuk syarikat yang berminat membangunkan loji yang menukarkan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di Sungai Udang di sini, kata Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata syarikat yang boleh menyertai RFP adalah dalam kalangan yang lulus dalam jawatankuasa teknikal peringkat KPKT dan dijangka teknologi WTE itu akan dibangunkan di tapak pelupusan sampah di Melaka pada pertengahan tahun depan.

Katanya RFP itu akan dinilai dalam pelbagai aspek khususnya melibatkan teknologi yang digunakan, model perniagaan dan pulangan yang akan diterima KPKT dan kerajaan negeri.

"Memang cadangan daripada KPKT untuk kita membina WTE bersebelahan dengan tapak pelupusan sedia ada di Sungai Udang dan sekarang ini kita dalam peringkat persediaan untuk 'RFP'. Kita sedia maklum pelbagai teknologi ada pada masa kini.

Kita juga di peringkat untuk mewujudkan kriteria penilaian bersesuaian bagi 'RFP' ini," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Balai Istiadat, Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohammad mendahului senarai 284 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Mohammad Mentek berkata KPKT juga dalam perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan semula bekas tapak pelupusan sampah di Krubong dengan penglibatan syarikat swasta.

Beliau berkata kawasan seluas kira-kira 28.89 hektar itu yang merupakan milik kerajaan negeri dan persekutuan itu dicadang dibangunkan sebagai projek perumahan.

"Tiga per empat daripada keluasan bekas tapak pelupusan sampah tersebut ialah milik kerajaan negeri dan bakinya milik kerajaan persekutuan," katanya.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata pembangunan semula bekas tapak pelupusan sampah berkenaan turut melibatkan pembangunan kawasan rekreasi dan kerajaan negeri telah mempunyai model bersesuaian daripada syarikat swasta berminat melabur tanpa melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Sampah yang terdapat di bekas tapak pelupusan itu akan dilupuskan mengikut kaedah lebih baik dan tidak melibatkan pembakaran," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan