EKONOMI

Empat Syarikat China Tunjuk Minat Melabur Di Kedah - Exco

11/01/2024 10:19 PM

ALOR SETAR, 11 Jan (Bernama) -- Empat syarikat terkemuka di China menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur di negara ini khususnya di Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Haim Hilman Abdullah.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan rundingan dengan syarikat terbabit dalam misi pelaburan ke negara itu.

"Hari ini adalah hari kedua kami dalam usaha (misi pelaburan) mempromosi negeri kita Kedah.

"Syukur alhamdulillah setakat hari ini, saya dan sahabat-sahabat telah mengadakan rundingan dengan empat syarikat terkemuka di China yang telah menunjukkan minat begitu tinggi untuk melabur di Kedah," katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau malam ini.

Bagaimanapun beliau yang mengetuai misi pelaburan itu tidak memaklumkan secara terperinci mengenai latar belakang syarikat terlibat.

Menurut Haim Hilman, beliau berterima kasih kepada wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Shanghai yang turut serta dalam misi berkenaan.

"Saya percaya hasrat dan harapan kita untuk membawa masuk lebih ramai pelabur ke Kedah akan tercapai, selaras dengan hasrat Menteri Besar kita (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dalam aspek pengisian agenda The Greater Kedah yang kita dukungi bersama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan