AM

Pemahaman Kebudayaan Antara Kaum Wujudkan Toleransi, Kukuhkan Perpaduan

17/01/2025 09:51 AM

ARAU, 17 Jan (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pemahaman kebudayaan antara kaum akan mewujudkan sikap toleransi dan hormat-menghormati yang tinggi sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan.

“Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang hidup secara aman dan harmoni. Amalan muafakat serta hormat-menghormati antara kaum menjadi asas perpaduan, menjadikan negara kita unik dan unggul di persada dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Karnival Sambutan Tahun Baharu Cina Kampung Pauh Setia Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh Setia di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Karnival anjuran Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Sin Min dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan itu dianjurkan kali kedua sejak 2024, menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan bagi meraikan kepelbagaian adat masyarakat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Cina di Kampung Pauh Setia atas komitmen menganjurkan acara yang menggalakkan interaksi budaya.

“Kampung Pauh Setia satu-satunya Kampung Baru di negeri Perlis, dan saya berharap ia menjadi contoh kepada komuniti lain untuk menganjurkan program yang memupuk semangat kebersamaan tanpa mengira bangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah penganjuran acara seumpama itu akan menjadi antara pemangkin untuk mendidik semua lapisan masyarakat agar memahami kebudayaan setiap kaum di Malaysia, khususnya di Perlis selaras Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Raja Muda Perlis turut mengingatkan anak-anak Perlis yang merantau untuk berhati-hati di jalan raya ketika pulang ke kampung halaman bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga tersayang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan