AM

SELANGOR CATAT PENYERTAAN TERTINGGI PROGRAM MCMC MICROSOFT AI TEACH

14/12/2024 08:57 PM

PETALING JAYA, 14 Dis (Bernama) -- Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi setakat ini bagi program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Microsoft AI Teach sejak pelancarannya Jun lepas, dengan disertai lebih 600 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program peringkat negeri selama dua hari itu bertujuan melatih rakyat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) merangkumi pengenalan kepada AI dan bagaimana teknologi itu boleh membantu mereka menyelesaikan permasalahan dihadapi.

"Pagi ini kita ada 630 peserta dengan sebahagian besarnya berada di kampus Sunway University sebagai antara rakan kongsi kolaborasi untuk menjayakan program ini, selain di luar Sunway University dan dibuat secara maya... program ini menyasarkan penyertaan 1,600 orang seluruh Malaysia dan dibuat dalam masa setahun.

"Tahniah pihak penganjur, Sunway University dan peserta yang menunjukkan kesungguhan mendalami AI, teknologi yang amat diperlukan negara ketika ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di sini hari ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial, Universiti Sunway dan Biji-biji Initiative (BBI).

Sejak dilancarkan pada 20 Jun lepas, sebanyak 864 peserta dari Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Melaka menyertai program terbabit yang bertujuan memberi latihan menyeluruh kepada masyarakat dalam bidang Al termasuk pemahaman konsep asas, etika penggunaan serta pembangunan resume dan portfolio bagi meningkatkan peluang pekerjaan mereka.

Mengenai pemerkasaan program itu di peringkat kerajaan negeri, Mohammad Fahmi berkata bagi tahun hadapan, kerajaan Selangor akan meneliti pelaksanaannya di kira-kira 67 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang ada di negeri itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Wilayah Tengah MCMC Mohd Faisal Md Nor berkata program MCMC Microsoft AI Teach ini hari ini turut dijalankan serentak di empat NADI iaitu NADI Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat; NADI Taman Bunga Raya, Rawang; NADI Kampung Labohan Dagang, Banting dan NADI Taman Kelisa, Hulu Selangor.

Beliau berkata pembelajaran AI termasuk di bawah lima teras program Perkhidmatan Pintar NADI yang bermula September lepas iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

"Setakat ini sejumlah 67 NADI beroperasi di Selangor termasuk 19 daripada 35 NADI baharu yang telah dibina tahun ini manakala baki 16 NADI masih di peringkat pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya suku pertama tahun depan," katanya. 

Dalam pada itu, Sunway University dalam kenyataan memaklumkan kerjasama universiti itu mencerminkan komitmen dalam pelaksanaan inisiatif Campus with a Conscience (CWAC), yang dimulakan pada 2021.

CWAC berfokuskan konsep pembangunan mampan dan kesihatan planet yang diintegrasikan dalam kurikulum dan melalui aktiviti serta tindakan di seluruh kampus, bagi membentuk komuniti yang bertanggungjawab terhadap planet dan masyarakatnya.

"Ia menggalakkan langkah-langkah kecil yang dapat memberi impak besar, termasuk melalui pendidikan kepada komuniti lebih luas, serta berkongsi amalan terbaik melalui platform webinar dan e-buletin, semua acara Campus with a Conscience dibuka kepada petugas, pelajar, alumni dan masyarakat," menurut universiti itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan