AM

Bencana: PM Anwar Umum Peruntukan Segera RM25 Juta Untuk Sabah, Sarawak

31/01/2025 07:22 PM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera RM25 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak ketika ini.

Anwar berkata bantuan kerajaan Pusat kepada negeri yang dilanda bencana, tidak mengikut musim.

“Kalau banjir di Perak kita bagi satu keluarga RM1,000. Di Sabah, Sarawak pun saya ada minta NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) segera luluskan dalam kadar segera RM1,000 ringgit bagi setiap keluarga mangsa banjir, kebakaran (dan) tanah runtuh.

“Kemudian kita siapkan beberapa puluh juta, katanya perlu RM20 juta atau RM25 juta segera untuk perbaiki kerosakan-kerosakan besar, kita luluskan. Ini pandangan yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim, tetapi ikut tanggungjawab, jadi kita lakukan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri, susulan banjir yang melanda Sabah dan Sarawak.

Menerusi hantaran di Facebook itu, Anwar berkata keutamaan ketika ini ialah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan.

Menurut laman Facebook NADMA, 17,459 mangsa banjir melibatkan 11,734 orang di Sarawak dan 5,725 orang di Sabah ditempatkan di 92 PPS setakat 12 tengah hari tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan