AM

93.14 Peratus Kandungan Perjudian Yang Diturunkan Diiklankan Di Facebook - Fahmi

13/02/2025 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Lebih 93 peratus daripada 224,403 kandungan perjudian yang diturunkan oleh pelbagai platform dalam talian adalah daripada Facebook, menjadikan platform media sosial itu sebagai lubuk iklan judi.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu Dewan Rakyat hari ini, jumlah itu melibatkan 209,006 kandungan perjudian dari 2022 hingga 1 Feb lepas.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melaksanakan pemantauan proaktif bagi memastikan persekitaran internet di negara ini bebas daripada kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang, termasuk kandungan perjudian dalam talian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata 5,026 laman sesawang judi telah disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet bagi tempoh sama. 

Pihak MCMC di bawah bidang kuasa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) katanya, komited memberikan kerjasama kepada PDRM dari segi penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal bagi mempercepatkan proses siasatan berkaitan kesalahan perjudian dalam talian.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai langkah kementerian membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan internet serta platform digital.

Fahmi berkata bagi memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari, MCMC telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi, bermula 1 Januari 2025.

Beliau berkata langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) diterbitkan MCMC.

Fahmi berkata ia seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan