AM

JKNS Lancar Kod QR Kempen Keselamatan Makan Sempena Ramadan

04/03/2025 10:47 PM

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini melancarkan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) Kempen Keselamatan Makanan antaranya bertujuan menyalurkan aduan berkaitan salah laku penjualan makanan di bazar Ramadan.

Pengarahnya Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata menerusi penggunaan QR itu, sebarang aduan di bawah kawal selia JKNS akan disampaikan terus kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Selanjutnya tindakan mengikut Akta Makanan 1983 serta peraturan di bawahnya akan dilakukan sekiranya ada kesalahan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya' Ramadan 2025: Jelajah Bazar Ramadan Selangor di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam yang dirasmikan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi.

Dr Ummi Kalthom berkata kod QR tersebut juga menyediakan akses kepada pelbagai tips keselamatan makanan ketika bulan Ramadan antaranya pemilihan juadah di bazar Ramadan, amalan bagi mengelakkan keracunan makanan melalui lihat, hidu dan rasa, tips penyimpanan lebihan makanan dan cara pembelian buah kurma.

“Kesemua informasi ini disampaikan dalam bentuk infografik yang menarik dan mudah difahami. 

“Peniaga dan orang awam boleh mendapatkan maklumat dengan hanya mengimbas kod QR pada bunting yang disediakan. Bunting ini akan digantungkan di bazar Ramadan terpilih untuk kemudahan orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ummi Kalthom berkata JKNS juga menempatkan lebih 200 pegawai kesihatan bagi melaksanakan pemeriksaan rambang di 236 tapak dan 15,349 peniaga bazar Ramadan seluruh Selangor.

Katanya ia sebagai langkah berterusan pejabat kesihatan daerah dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kualiti penyediaan dan penjualan makanan kepada pembeli di bazar dapat dilaksanakan dalam keadaan yang selamat serta bersih. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan