SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mengagihkan sebanyak 4,500 bubur lambuk percuma sepanjang Ramadan tahun ini sebagai penghargaan kepada komuniti.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PKNS Dr Azlina Jaapar berkata acara tradisi selama hampir 20 tahun itu dijalankan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan Kasih PKNS melibatkan peruntukan sebanyak RM37,000.
"Agihan di tiga lokasi selain Kompleks PKNS Shah Alam pada hari ini ialah Evo Mall, Bandar Baru Bangi pada 12 Mac nanti dan pusat beli-belah Datum Jelatek pada 20 Mac membabitkan 1,500 pek bubur lambuk di setiap lokasi," katanya ketika ditemui pada Majlis pelancaran Bubur Lambuk Kasih PKNS di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik) PKNS Ir Md Kamarzan Md. Rais.
Azlina berkata pihaknya telah mengatur beberapa lagi program sampingan sepanjang Ramadan ini, seperti Iftar Ramadan Kasih PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 14 Mac ini bagi meraikan kanak-kanak gelandangan daripada Rumah Ilmu, Chow Kit.
"Program ini bukan sekadar menyantuni golongan yang memerlukan, tetapi juga mencerminkan komitmen PKNS dalam menyebarkan keberkatan Ramadan kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya.
PKNS pada majlis hari ini turut menyalurkan sumbangan Bakul Ramadan Kasih berjumlah RM10,000 kepada asnaf mualaf di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Putra mengandungi barangan keperluan asas bernilai RM200 setiap satu untuk 50 keluarga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial