AM

MBI Keluarkan 12 Kompaun Di Bazar Ramadan Sekitar Ipoh

04/03/2025 09:02 PM

IPOH, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 12 kompaun bernilai RM3,750 dikeluarkan kepada beberapa peniaga bazar Ramadan di bandar raya Ipoh atas pelbagai kesalahan sejak ia mula beroperasi hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata tindakan itu dibuat selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan operasi pemeriksaan di 368 premis di sekitar tapak bazar Ramadan di bawah kendalian mereka.

Ng berkata siasatan bersama pihak penganjur bazar mendapati ada peniaga yang menjual tapak kepada pihak ketiga, justeru lesen peniaga terbabit telah ditarik balik.

"Antara isu yang menjadi perhatian ramai tahun ini ialah amalan sewa atas sewa atau sewa kepada warga asing seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pelesen yang gagal mematuhi peraturan atau membatalkan lesen bazar Ramadan tanpa notis dan tanpa pampasan,” katanya selepas merasmikan Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini.

Beliau berkata anggota pihak berkuasa tempatan turut bertugas di bazar Ramadan berskala besar di sekitar Perak bagi melancarkan operasi di kawasan itu selain turut menyediakan kios maklumat yang memaparkan gerai peniaga dan penganjur termasuk nombor telefon sekiranya berlaku kecemasan.

“Tahun ini ambulans disediakan bagi memastikan kesejahteraan orang ramai … terutamanya di bazar Ramadan berskala besar … di tempat lain, kita bekerjasama dengan pejabat kesihatan hospital berdekatan," katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan