AM

Penglibatan Semua Pihak Secara Inklusif Bantu Rakyat Fahami Inisiatif Kerajaan MADANI

20/02/2025 08:21 PM

KOTA KINABALU, 20 Feb (Bernama) -- Penglibatan semua pihak secara inklusif menerusi program Ukhuwah MADANI berjaya mendekati komuniti, sekali gus menjadi platform kepada rakyat memahami inisiatif dan usaha kerajaan pada masa kini.

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Dr Roslan Hussin berkata ia tidak hanya melibatkan agensi kerajaan tetapi pihak swasta dan badan bukan kerajaan juga berperanan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Beliau berkata melalui program itu, masyarakat akan lebih celik dan mengetahui inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha membantu masyarakat di setiap kawasan yang terlibat. 

“Dengan adanya program seperti ini, mereka (komuniti) akan mengetahui peluang dan ruang pendidikan yang ada. Oleh itu pihak dan agensi yang memberi perkhidmatan kepada rakyat, dapat diakses terus oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Ukhuwah MADANI di Kampung Darau di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah AKM Sabah Datin Shonitah Terang dan Pengerusi Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah Datin Rosnah Nasir.

Program Ukhuwah MADANI yang berlangsung selama sehari itu turut disertai oleh pempamer terdiri daripada AKM Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Program berkenaan turut diadakan serentak di Buhavon Square, Penampang dan Hospital Tuaran. 

Roslan berkata program itu akan diteruskan di kawasan-kawasan lain sejajar dengan matlamatnya iaitu mengeratkan hubungan antara ahli dalam komuniti berkenaan.

Beliau berkata Sabah menjadi contoh terbaik kerana perpaduan yang terjalin erat dalam komuniti meskipun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama namun hidup dalam keadaan aman serta harmoni.

Roslan berkata antara prinsip utama Kerajaan MADANI ialah saling hormat-menghormati, dan program pada hari ini dihadiri oleh pelbagai golongan termasuk belia, sekali gus menampilkan kekuatan Sabah sebagai Negeri di Bawah Bayu.

“Tentu sekali agensi-agensi di sini berperanan untuk memberikan gambaran sebenar (usaha kerajaan) bukan hanya bergantung kepada maklumat-maklumat yang kadangkala boleh meragukan dan menggusarkan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan