AM

Program Ukhuwah MADANI Fokus Kebajikan Pesakit Di Hospital Tuaran

22/02/2025 11:04 AM

TUARAN, 21 Feb (Bernama) -- Program Ukhuwah MADANI di Hospital Tuaran di sini memfokuskan kepada kebajikan pesakit khususnya untuk memberi keceriaan dan sokongan moral kepada pesakit kanak-kanak di hospital itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Roslan Mat Nong berkata ini termasuk menyampaikan bantuan kepada keluarga pesakit dalam bentuk barangan keperluan serta sokongan psikologi.

"Majlis ini menjadi simbol kerjasama antara pihak hospital dan AKM dalam usaha untuk memperbaiki sistem kesihatan negara dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Roslan berkata majlis itu juga melibatkan perasmian nama baharu Unit Porter Hospital Tuaran yang kini dikenali sebagai Unit Ihsan Hospital Tuaran dengan plak perasmian unit itu telah ditandatangani Ketua Pengarah AKM Datuk Dr Roslan Hussin dan pihak hospital.

Beliau berkata perubahan nama itu adalah simbolik kepada perkhidmatan yang lebih mesra dan prihatin kepada pesakit.

Sementara itu, Roslan berkata program Ukhuwah MADANI mencerminkan komitmen AKM dalam membina sebuah masyarakat yang lebih padu, berpengetahuan dan prihatin terhadap sesama insan.

Program yang diadakan serentak di Kampung Darau, Manggatal dan Buhavon Square, Penampang semalam selain Hospital Tuaran menunjukkan kerjasama antara kerajaan, masyarakat serta pihak swasta dalam memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Dengan adanya program ini dapat membuka ruang, pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat setempat terhadap dasar-dasar kerajaan semasa iaitu Malaysia MADANI dan diteruskan pada masa hadapan, dengan lebih banyak lokasi serta pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat," katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan