AM

Banjir: Bantuan bekalan air diagih kepada penduduk Kampung Poh

26/05/2022 06:41 PM

TANJUNG MALIM, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan Perak sedang menyampaikan bantuan termasuk bekalan air kepada penduduk Kampung Poh, Bidor, yang terjejas akibat banjir kilat semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bekalan air di kampung itu terputus kerana masalah tekanan air rendah.

"Penduduk kampung itu menggunakan sistem paip graviti dan difahamkan pihak majlis daerah sudah menghantar air bagi kegunaan mereka untuk mandi. Kita harap Lembaga Air Perak (LAP) juga dapat menghantar bantuan.

"Mereka juga memerlukan air untuk mencuci rumah yang terjejas sebelum lumpur menjadi kering kerana ia akan menyukarkan proses membersihkan rumah," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan Felda Trolak Selatan di sini yang turut terjejas banjir.

Saarani berkata bantuan segera termasuk bekalan makanan bermasak turut disampaikan kepada lebih 900 penduduk Orang Asli melibatkan lima kampung di Pos Jernang, Sungkai.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran akan membina rancangan tebatan banjir di kawasan Felda Trolak sebaik menerima peruntukan bagi mengelak banjir berulang dan menjalankan kerja mendalamkan Sungai Bidor bermula dari Teluk Intan.

"Kita sedang mengumpul maklumat mangsa banjir dan melihat apa bantuan untuk disampaikan kerana biasanya kita akan menyampaikan wang ihsan kepada mangsa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan