Oleh Syamsiah Sahat
KUALA LUMPUR, 19 Sept -- Persatuan Pengusaha Juru Gaya Rambut India Malaysia (Mindas) dipelawa menjadi badan penganjur untuk memberi latihan secara profesional kepada golongan muda tempatan terutama dalam kalangan remaja kaum India untuk menjadi tukang gunting rambut.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Saraswathy Kandasami berkata persatuan itu bersedia untuk memberi bantuan berupa kewangan dan geran bagi menyokong usaha berkenaan.
"Daripada kita bergantung kepada tenaga asing, usaha memberi latihan ini boleh dijalankan dengan menawarkan mereka (remaja) menjadikan bidang gunting rambut sebagai cabang keusahawanan," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Bendahari Mindas M. Jeyakumar yang meminta kerajaan mengkaji semula dasar pembekuan pengambilan tenaga kerja asing dan dasar penggantian yang didakwa bakal menjejaskan pendapatan mereka dalam bidang perniagaan gunting rambut.
Dasar pembekuan penggunaan pekerja asing sepenuhnya itu boleh menyebabkan kos gunting rambut meningkat kepada RM30 hingga RM45.
Jeyakumar berjata rayuan itu bagi memastikan ahli persatuannya terus bernafas dalam industri yang diusahakan mereka sejak lebih 100 tahun lalu, sekali gus dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
Sementara itu, Saraswathy berkata sijil kemahiran menggunting rambut secara profesional boleh dilengkapkan dalam masa lapan bulan manakala sijil kemahiran asas boleh diperoleh dalam tempoh hanya dua minggu sehingga sebulan.
Katanya, kerajaan setakat ini memberikan peruntukan besar untuk membantu golongan India negara ini mempertingkatkan pelbagai kemahiran mereka melalui Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) sebagai langkah meningkatkan ekonomi mereka.
Bagaimanapun katanya 'stigma sosial' masyarakat India negara ini menjadi antara punca bidang menggunting dan penggayaan rambut kurang mendapat sambutan daripada golongan berkenaan.
"Sehubungan itu kita meminta jika Mindas mempunyai strategi tersendiri untuk menarik minat masyarakat India terutama golongan remaja untuk menceburi bidang ini, ia amat kita alu-alukan," katanya.
Beliau berkata masyarakat India juga perlu mengetepikan 'stigma sosial' yang menjadikan bidang gunting rambut sebagai sektor yang tidak begitu popular dalam kalangan mereka.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos lalu mengumumkan keputusan untuk menghentikan pengambilan dan penggunaan pekerja asing dalam subsektor tukang gunting rambut, tekstil, dobi dan tukang emas mulai 2021.
Mindas merekodkan, hampir 2,100 kedai gunting beroperasi di seluruh negara dengan tukang gunting tersebut dibawa masuk daripada beberapa negara seperti India, Bangladesh dan Nepal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial