AM

KPKT buka kaunter permohonan PPR Batu Putih di Sandakan

20/02/2020 06:44 PM

SANDAKAN, 20 Feb -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuka kaunter bagi permohonan menyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih dekat sini selama tiga hari mulai Selasa (25 Feb).

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata kaunter permohonan PPR Batu Putih akan diadakan di Majlis Perbandaran Sandakan iaitu warganegara berumur 18 tahun ke atas, yang tidak memiliki rumah, dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah boleh memohon untuk menyewa dengan kadar bulanan RM160 termasuk penyelenggaraan.

Zuraida berkata langkah mewujudkan kaunter permohonan PPR itu bagi membendung unsur penipuan oleh mana-mana pihak yang mengedar borang permohonan palsu.

"Kami (KPKT) faham di Sabah ada konco-konco atau pihak-pihak yang mengambil kesempatan, yang mereka menjual borang permohonan dengan harga yang sangat tinggi sampai puluhan ribu (ringgit).

"Kami hendak pastikan bahawa mereka (pemohon) tidak teraniaya, dan kaedah ini (kaunter permohonan PPR) akan digunakan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai pembangunan Sandakan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Wong Foo Tin di sini hari ini.

PPR Batu Putih dibina pada Ogos 2015 dan siap pada Oktober lepas dengan menawarkan 900 unit rumah.

Zuraida juga berkata dalam usaha memenuhi permintaan perumahan kos rendah di Sandakan, kementeriannya akan mengkaji sebuah tapak berkeluasan kira-kira 20 hektar di Batu 10 dekat sini untuk membina sebuah PPR dengan 1,000 unit rumah.

Beliau juga berkata projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Borneo Cove di sini, yang mempunyai 1,750 unit rumah, akan diisi oleh pemohon warganegara yang tinggal di setinggan atas air secepat mungkin.

Zuraida turut melahirkan keprihatinan terhadap masalah pengurusan tapak pelupusan sampah di daerah ini dan akan bertemu dengan kerajaan negeri bagi mencari pendekatan segera dan terbaik dalam pengurusan sampah, termasuk mengamalkan pendekatan menukar sampah kepada tenaga atau meraih pendapatan daripada sampah yang boleh dikitar semula.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan