AM

Akses internet terhad antara cabaran belajar, mengajar dalam talian

17/04/2020 12:36 PM

Oleh: Norshazlina Nor Azman

KUALA LUMPUR, 17 April  -- Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian bagi menggantikan interaksi secara berdepan di dalam bilik darjah, pastinya satu-satunya cara yang paling selamat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19. 

Namun begitu, keterbatasan dan kekangan pasti wujud khususnya kepada pelajar yang tidak mempunyai capaian internet atau mempunyai kadar capaian internat yang lemah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Justeru apakah langkah yang boleh diambil terutamanya oleh guru-guru bagi memastikan pelajar mereka tidak tertinggal dalam pelajaran sepanjang PKP ini?

Bagi Mohd Fakhrul Anwar, 34, guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan Seri Jemerli, Kuala Ketil, Kedah, pembelajaran di luar bilik darjah iaitu secara dalam talian benar-benar memberi cabaran kepada guru sepertinya yang mengajar di kawasan luar bandar.

Katanya, ini kerana tidak semua murid serta keluarga mereka mempunyai akses internet dan peranti elektronik, yang menjadi halangan terbesar untuk merealisasikan kaedah pembelajaran itu. 

"Belajar dalam talian ini betul-betul bergantung kepada capaian internet... seperti sekolah saya, ada murid yang diberi kerja sekolah melalui Google Forms atau Quizizz namun tidak semua dapat berbuat demikian.

Ada murid yang langsung tiada 'data' untuk  dalam talian dan ada keluarga yang mempunyai lebih dari seorang anak yang bersekolah tetapi mereka hanya mempunyai sebuah telefon bimbit sahaja, jadi susah untuk mereka," katanya kepada Bernama.

Mohd Fakhrul berkata murid yang tidak mempunyai data internet, berkemungkinan akan banyak tertinggal berbanding rakan-rakan mereka, justeru untuk meminimumkannya, guru akan menelefon untuk memberitahu perkara berkaitan seperti kerja sekolah dan penggunaan buku teks.

"Kalau hendak buat kelas secara video memang susah dan amat payah... saya sudah cuba untuk guna Google Meet tetapi tidak tercapai kerana ada ibu bapa yang sampai terpaksa keluar ke tepi jalan besar baru dapat data internet," katanya.

Beliau berkata murid yang tinggal di pekan tidak mempunyai masalah kerana capaian internet yang bagus tetapi jumlah itu amatlah sedikit.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Raja Maizatul Wizana Raja Mansor, 42, berkata bagi pelajar yang datang dari keluarga B40 dan hanya mempunyai sebuah telefon bimbit asas yang dikongsi beberapa orang dalam satu keluarga, mereka diberi tempoh masa yang lebih panjang untuk menyiapkan tugasan.

Beliau berkata bentuk tugasan juga diubah suai dengan jenis telefon bimbit yang digunakan itu iaitu menghantar tugasan dalam bentuk artikel ringkasan yang ditaip manakala mereka yang mempunyai komputer riba dan internet pula tiada masalah untuk menghantar tugasan dalam bentuk video. 

"Kami di MRSM diminta menggunakan segala jenis medium dari Google Classroom, Google Meet hingga Telegram, WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas yang biasa itu... setakat ini memang tiada masalah. 

Setakat ini semua pelajar yang kaya atau miskin, yang di bandar atau di kampung ceruk hulu tiada masalah akses internet... sekurang-kurangnya mereka mempunyai telefon bimbit asas, PdP boleh dijalankan... yang penting mereka hendak belajar atau tidak," katanya.

Dalam pada itu, guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Taiping, Perak, Syafaat Nasib, 29, berkata beliau tidak menjalankan kelas dalam talian dan kerja sekolah diberikan melalui aplikasi Telegram, namun tidak semua murid berada di dalam kumpulan itu.

Katanya, sebagai guru, mereka perlu memahami sekiranya ada murid yang mempunyai kekangan untuk belajar atau masalah bagi menyiapkan tugasan yang diberi berikutan ketiadaan akses internet.

"Kementerian Pendidikan Malaysia ada cakap pasal kena faham kekangan guru dan murid untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran sepanjang PKP... jadi, kalau mereka tiada dalam kumpulan Telegram itu, guru akan minta murid yang ada di dalam kumpulan itu untuk sampaikan pesanan kepada yang lain.

Tetapi kalau murid ada masalah, tidak apa... nanti apabila sekolah buka, kita akan 'ajar' balik sebaik yang mungkin," katanya.

Selain itu, mereka yang tidak mempunyai akses internet juga boleh mengambil manfaat dari sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan menerusi saluran RTM, TV Okey, kata Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin baru-baru ini.

Katanya, pendekatan itu diambil bagi memberi ruang kepada pelajar yang tiada akses kepada internet tetapi mempunyai akses kepada televisyen serta memberikan seluas mungkin ruang dan peluang kepada bukan sahaja pelajar tetapi juga guru dan ibu bapa dalam mendapat akses kepada pendidikan sepanjang tempoh PKP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan