IPOH, 19 April -- Kerajaan negeri Perak membuka Pusat Transit Gelandangan kedua di Perak iaitu di Arena Badminton Perak di sini, sebagai langkah untuk memberi perlindungan kepada golongan kurang bernasib baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin, berkata langkah mewujudkan pusat itu yang mempunyai kapasiti 77 penghuni dengan menggunakan konsep kubikel dan boleh boleh ditambah dari semasa ke semasa juga adalah bagi mengelak golongan itu menjadi kluster terbaharu wabak COVID-19.
Beliau berkata 49 gelandangan terdiri daripada 46 lelaki serta tiga wanita berusia antara 21 dan 78 tahun sekitar Ipoh dibawa ke pusat itu sejak petang semalam dan setiap seorang diberikan satu kubikel, manakala yang berkeluarga disediakan satu kubikel untuk dua orang.
“Operasi menyantuni gelandangan bermula pada jam 6 petang semalam di sekitar Ipoh termasuk di taman kanak-kanak dan pasar raya melibatkan 139 petugas daripada pelbagai agensi.
“Setakat ini, terdapat dua pusat transit gelandangan di Perak iaitu sebuah lagi di Kamunting, Taiping yang menempatkan kira-kira 15 orang bermula minggu lepas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat transit gelandangan berkenaan di sini hari ini.
Wan Norashikin berkata kebajikan gelandangan terutama makan dan minum disediakan oleh badan bukan kerajaan di sekitar Ipoh dengan kekerapan lima kali sehari malah mereka juga diberikan pakaian dan boleh menggunakan kemudahan bilik air yang bersih.
Katanya, pusat transit gelandangan itu dapat memberi perlindungan lebih baik kepada golongan itu semasa PKP dan sebagai salah satu proses mengubah sikap mereka supaya kembali kepada masyarakat melalui pengisian program yang disediakan.
Beliau berkata pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) juga akan ditempatkan di pusat transit berkenaan pada bulan Ramadan bagi menjalankan program keagamaan dan memantau ibadah puasa dalam kalangan gelandangan yang beragama Islam.
Katanya, 42 anggota daripada pelbagai agensi antaranya Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA ditempatkan di pusat itu bagi pengawalan keselamatan setiap hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial