EKONOMI

Moneysave lancar platform pendanaan awam rakan setara

18/05/2020 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei -- Moneysave (M) Sdn Bhd melancarkan platform pendanaan awam rakan setara (P2P) baru-baru ini untuk membantu 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, dengan meletakkan sasaran pelaburan bernilai RM8 bilion daripada para pelabur.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Moneysave Vincent Soh berkata bagi mengumpul pendanaan awam PKS, terutamanya selepas wabak COVID-19 memberi kesan buruk kepada ekonomi, syarikat itu mengeluarkan nota pelaburan yang menawarkan pulangan kepada pelabur runcit dan institusi antara 7.0 dan 16 peratus pulangan setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata Moneysave, pengkhususan dalam Pembiayaan Invois Dagangan jangka pendek selama 30 hari hingga maksimum 180 hari, dengan margin sehingga 85 peratus daripada nilai invois.

"Sebagai contoh, nilai invois RM100,000, boleh mengumpul pendanaan awam sehingga RM85,000," kata Soh.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran pelaburan RM8 bilion, Moneysave hanya memanfaatkan kira-kira 0.33 peratus hasil gabungan deposit dan unit amanah Malaysia, yang dianggarkan bernilai sekitar RM2.4 trilion ketika ini.

Untuk melindungi pelabur, semua wang pelaburan dipindahkan  dan disimpan ke dalam akaun amanah pelabur yang diuruskan oleh Maybank Trustees Bhd.

Platform P2P Moneysave juga dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan ia platform pendanaan awam P2P pertama di dunia yang menawarkan strategi pelaburan pengurangan risiko pelbagai untuk mengurangkan risiko pelaburan.

Soh berkata Moneysave berhasrat mengembangkan perniagaannya di Indonesia dan negara-negara ASEAN yang lain dalam tempoh tiga tahun.

Pada ketika ini, platform itu sedang mempersiapkan permohonannya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menjadi platform pendanaan awam P2P patuh Shariah menjelang Ogos, 2020.

Moneysave menawarkan platform pelaburan percuma dan mudah yang membolehkan pelabur mendaftar dan mula melabur dalam tempoh kurang daripada tiga minit melalui portal dalam talian yang boleh diakses di seluruh dunia.

Ia juga membolehkan PKS membuat permohonan pembiayaan dan mendapat persetujuan bersyarat dari Moneysave dalam masa tiga minit.

"Untuk menurunkan kos pembiayaan, PKS akan diberi insentif jika mereka mencatatkan prestasi baik atau memenuhi kriteria pengurangan risiko tertentu.

"Insentif maksimum yang dapat diberikan kepada mana-mana nota pelaburan tunggal adalah 5.0 peratus setahun setiap pada bila-bila masa,” kata syarikat itu dan berkata para pelabur harus memilih nota pelaburan berdasarkan pelbagai kriteria pengurangan risiko yang dicapai PKS, kerana ia dapat mengurangkan risiko pelaburan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan