AM

Aplikasi KLStep rekod kehadiran pengunjung di premis perniagaan - DBKL

28/05/2020 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei -- Premis perniagaan seperti pusat beli-belah, restoran, butik dan kedai runcit di sekitar ibu negara digalakkan menggunakan aplikasi KLStep bagi merekodkan maklumat dan kehadiran setiap pengunjung di premis mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata langkah itu bertujuan memastikan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya kawalan pengunjung di premis perniagaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sekarang ada premis perniagaan yang masing-masing buat sendiri (menulis maklumat pengunjung), tapi akan datang kita mahu standard ini (KLStep) diguna pakai oleh semua premis perniagaan dalam Kuala Lumpur.

“Kita sudah maklum kepada mereka dan berharap perkara ini dapat disegerakan kerana ia amat mudah untuk dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi KLStep di pusat beli-belah SOGO, di sini hari ini.

Melalui aplikasi itu, setiap pengunjung yang ingin memasuki premis perniagaan diminta mengimbas kod QR melalui telefon pintar masing-masing dan memasukkan maklumat seperti nama, nombor telefon dan suhu badan untuk tujuan rekod.

Maklumat berkenaan akan memudahkan KKM membuat pengesanan kontak sekiranya berlaku kes-kes positif COVID-19 yang berpunca daripada kunjungan di premis tersebut.

Nor Hisham berkata penggunaan KLStep juga akan diperluas ke pasar awam di bawah selian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti di Jalan Raja Bot namun pihaknya masih meneliti kaedah terbaik kerana kawasan berkenaan adalah tempat terbuka dan pengunjung bebas keluar masuk pasar tersebut.

“Bagi peniaga kecil seperti penjaja makanan, mereka boleh meneruskan SOP (menulis maklumat pengunjung) seperti biasa kerana ia tidak melibatkan jumlah pengunjung yang ramai dan pembelian bawa balik sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut memaklumkan berdasarkan tinjauannya hari ini, beliau berpuas hati dengan kadar pematuhan SOP seperti penyediaan pencuci tangan dan amalan penjarakan sosial di premis perniagaan dan kebanyakan mereka mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan