DUNIA

Asean Kecam Serangan Israel Ke Atas Orang Awam Dan Infrastruktur Di Gaza

27/07/2024 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Sabtu mengecam serangan Israel ke atas  orang awam dan infrastruktur awam di Gaza, yang telah mengakibatkan jumlah korban yang membimbangkan sejak 7 Okt.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) selama dua hari di Vientiane, Laos, Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang kritikal di Gaza, dan telah menjadi semakin teruk akibat serangan itu.

“Kami mengecam semua serangan ke atas  orang awam dan infrastruktur awam, yang telah mengakibatkan jumlah korban yang membimbangkan, terutamanya wanita dan kanak-kanak, serta akses terhad kepada makanan, air, dan keperluan asas lain, yang membawa  krisis kemanusiaan di Gaza menjadi bertambah buruk,” katanya.

Hampir 10 bulan dalam konflik, lebih daripada 39,000 orang, terutamanya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh, dan kira-kira 90,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Menteri-Menteri Luar ASEAN menggesa semua pihak yang berkaitan menerima cadangan gencatan senjata seperti yang dinyatakan dalam perenggan 2 Resolusi 2735 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Kami menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan, terutamanya 23 warga ASEAN, wanita, kanak-kanak, orang sakit dan warga tua,” katanya.

Mereka  juga memuji usaha pelbagai negara anggota ASEAN dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada Gaza, dan menggesa semua negara anggota ASEAN dan rakan luar untuk terus memberikan dan memudahkan bantuan untuk Gaza.

“Kami menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dalam pelaksanaan mandatnya dan Penyelaras Kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kemanusiaan dan Pembinaan Semula untuk Gaza dalam melaksanakan tugasnya secara efektif dan efisien, serta memulakan kerja-kerja pembinaan semula selepas konflik,” katanya.

Menteri-Menteri Luar itu juga menyeru akses kemanusiaan yang cepat, selamat, tanpa halangan dan berterusan kepada semua yang memerlukan, termasuk melalui peningkatan kapasiti di pintu sempadan, termasuk melalui laut.

“Kami menggesa semua pihak yang berkaitan untuk bekerja ke arah penyelesaian aman terhadap konflik dengan matlamat merealisasikan penyelesaian dua negara sesuai dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang berkaitan.

Menteri-Menteri Luar juga menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan menyeru semua pihak yang berkaitan untuk menahan diri, mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan keadaan, dan menyelesaikan perbezaan melalui diplomasi dan dialog demi kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan