KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi tadi susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.
Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
“Air Selangor telah mengambil tindakan dengan melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) 600 dengan kapasiti 150 juta liter sehari dan pelepasan empangan sebanyak 500 juta liter sehari bagi pencairan bahan pencemaran yang terdapat di Sungai Selangor.
“Sehingga jam 11.30 pagi, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Elina, Air Selangor juga menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300 atau whatsapp di nombor 019-2816793 dan 019-2800919.
Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial