AM

Pelbagai sumbangan bantu Sabah tangani COVID-19

04/11/2020 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov -- Prihatin dengan keperluan Sabah dalam menghadapi pandemik COVID-19, pelbagai pihak hari ini tampil menyalurkan sumbangan tanda solidariti untuk membantu penduduk Negeri di Bawah Bayu itu menangani wabak yang melanda.

Antara pihak berkenaan ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM250,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO) terpilih bagi membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19. 

Menurut kenyataan MyIPO hari ini, sumbangan itu digunakan bagi pembelian barangan kesihatan termasuk pelitup muka, pencuci tangan dan barangan keperluan asas lain untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas. 

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat MyIPO dan sebelum ini MyIPO turut menyumbangkan bantuan seumpama itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan,” menurut kenyataan itu.

Pusat Perubatan Sunway pula tampil dengan sumbangan bekalan perubatan bernilai lebih RM300,000 kepada Hospital Queen Elizabeth dan hospital umum lain di Sabah bagi menyokong usaha petugas kesihatan barisan hadapan dalam menangani peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Bryan Lin Boon Diann berkata sumbangan itu termasuk dua alat bantuan pernafasan bernilai RM110,000; 22 karton cecair pembasmi kuman; 20,000 pelitup muka KN95 dan 1,000 kotak pelitup muka gred perubatan. 

Sumbangan kepada Sabah itu melengkapkan inisiatif dilakukan Pusat Perubatan Sunway sebelum ini termasuk menerima pesakit terpilih daripada KKM untuk meringankan beban hospital awam menangani kes selain kes COVID-19 serta menyumbang RM100,000 kepada Tabung Prihatin Yayasan Kebajikan Negara. 

“Kami yakin bahawa sokongan yang telah kami beri kepada hospital-hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan yang lain serta kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menyampaikan sumbangan ini, kami berharap ia dapat membantu negeri Sabah dalam memerangi wabak ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Atomy Malaysia Sdn Bhd pula menyalurkan sumbangan bernilai RM141,080 kepada pusat dan yayasan kebajikan, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran yang turut terkesan dengan penularan COVID-19.

Pengurus Besar Atomy Malaysia Sewon Kim berkata sumbangan kepada tujuh pusat kebajikan termasuk PMY Deaf Community, Fun-gates Pre School dan Cheshire Home adalah berbentuk pembersih tangan, set pembersih rambut dan badan serta set penjagaan diri yang kesemuanya adalah produk keluaran syarikat itu.

“Atomy Malaysia berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang dipikul oleh pusat kebajikan berkenaan selain dapat membantu mereka dalam mengharungi situasi pandemik yang kian meruncing dan juga keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan