EKONOMI

BigPay antara lapan syarikat dibenarkan tawar pinjaman secara dalam talian

13/11/2020 08:45 PM

Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Penyedia dompet digital AirAsia Bhd, BigPay Later Sdn Bhd, bersama dengan tujuh syarikat "komuniti kredit berlesen" yang lain, telah mendapat persetujuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan pinjaman dalam talian.

Kelulusan itu diumumkan semasa sesi secara maya garis panduan pinjaman wang dalam talian KPKT yang dilancarkan oleh menterinya, Zuraida Kamaruddin, hari ini.

Tujuh syarikat lain ialah Axiata Digital Capital Sdn Bhd, Grabfin Operations (M) Sdn Bhd, GHL Payments Sdn Bhd, Presto Credit Sdn Bhd, JCL Credit Leasing Sdn Bhd, Fortune Tree Capital Sdn Bhd dan Hoop Fintech Sdn Bhd

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata kelulusan itu adalah berita baik bagi BigPay dan beliau berharap ia dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk berniaga serta menjalani kehidupan yang sempurna.

"Dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, pembiayaan itu akan ditawarkan kepada golongan untuk B40 dan sasarannya adalah untuk mendapatkan pinjaman yang diluluskan dalam beberapa minit sahaja," katanya kepada Bernama.

Tony berkata walaupun B40 akan menjadi penerima terbesar daripada pinjaman tersebut, pembiayaan itu akan tersedia untuk kumpulan lain juga.

"Ini adalah teknologi hebat yang membolehkan orang ramai mendapat kadar pinjaman yang terbaik. Kami berharap AirAsia.com bukan hanya menjadi tempat anda membeli tiket penerbangan AirAsia, kami sedang membina aplikasi canggih.

"Kami menambah semakin banyak perkhidmatan, one-stop shop - kami mempunyai fintech, e-commerce, dan kami mempunyai beberapa produk lain," kata Tony.

Garis  panduan itu dibangunkan bagi pelaksanaan urus niaga pinjaman wang secara dalam talian sebagai rujukan kepada syarikat Kredit Komuniti Berlesen di bawah KPKT kepada mereka yang berhasrat untuk menjalankan urus niaga tersebut secara dalam talian.

la juga dibangunkan bagi mengurangkan jurang teknologi digital dan memudahkan pelaksanaan urus niaga kredit komuniti selaras dengan kehendak dalam persekitaran kebiasaan baharu.

Garis panduan itu juga dapat mewujudkan satu lingkungan urus niaga pinjaman wang yang lebih kondusif, selamat, terkawal dan teratur sebagai usaha kementerian untuk memodenkan industri pemberi pinjaman wang (Kredit Komuniti) selaras dengan usaha penjenamaan semula industri tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan