AM

Peruntukan RM57 juta untuk atasi hakisan Pantai Teluk Lipat

23/11/2020 02:04 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Nov -- Sebanyak RM57 juta diperuntukkan bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun yang semakin meruncing terutama pada musim tengkujuh ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata peruntukan daripada kerajaan Persekutuan itu antaranya melibatkan kerja-kerja penyuburan pasir pantai, pembaikan struktur awam seperti laluan pejalan kaki yang rosak akibat hakisan.

“Kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja tersebut telah pun dilantik dan projek ini dijangka siap akhir Ogos 2022,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) yang ingin tahu status terkini dan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun, Pantai Rhu Rendang di Marang dan kawasan pantai di sekitar Kuala Nerus.

Bagi Pantai Rhu Rendang di Marang pula katanya, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi mengatasi masalah hakisan di pantai itu yang dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) baru-baru ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.1 juta bagi melakukan kerja-kerja penyuburan pasir pantai di Kuala Nerus.

“Kerja-kerja tersebut meliputi kawasan sepanjang 500 meter dan ia akan siap Ogos tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan